MIRI, 10 Dis: Penyebaran maklumat menjadi lebih mudah dengan semua orang boleh menulis dan menerbitkan apa sahaja melalui platform internet dan media sosial dengan adanya perkembangan baik dalam era teknologi, namun ia juga menyebabkan penyebaran berita dan maklumat palsu tanpa kawalan hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara yang berkaitan dengan peyebaran berita dan maklumat palsu tanpa kawalan masih sedang ditangani.
“Ini adalah isu yang sedang cuba ditangani oleh Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Komunikasi Digital dengan melibatkan penyedia perkhidmatan seperti TikTok dan Facebook untuk membendung siaran provokatif dan palsu meskipun tidak semua pengamal media sosial berniat tidak baik,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2022 Edisi ke-34 yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) di Hotel Imperial Miri malam tadi.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian yang mewakilinya di majlis itu.
Katanya, peranan penting yang dimainkan oleh media dalam pembangunan negara tidak boleh dipertikaikan.
“Penyebaran maklumat yang betul dan benar mengenai program dan dasar pembangunan kerajaan penting dalam memastikan negara, khususnya Sarawak dapat bergerak ke hadapan dengan lancar demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
Beliau berharap agar pihak media terus mematuhi etika kewartawanan bagi memastikan laporan yang disediakan dilakukan secara objektif dan bertanggungjawab untuk melahirkan masyarakat yang berpengetahuan.
Majlis Penganugerahan Tahunan anjuran FSJA ini dijalankan bagi mengiktiraf sumbangan media dalam menyampaikan maklumat yang sahih kepada masyarakat awam.
Seramai 461 penyertaan untuk anugerah itu diterima pada tahun ini berbanding 338 penyertaan pada tahun lalu dengan 11 kategori dipertandingkan bersama hadiah wang tunai berjumlah RM250,000 untuk para pemenang anugerah.
Anugerah Tokoh Media telah dianugerahkan kepada Toman Mamora @ Tagor Toman Debataraja Mamora, konsultan dan pengkaji komunikasi, atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan sejak awal 1990-an sehingga sekarang. – TVS