KUCHING, 9 Dis: Aruel Ariel, 36, dari Selangor muncul sebagai juara Getaran Jiwa, sekali gus melayakkan dia membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi.
Aruel menyampaikan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Gelora menerusi cabaran ‘battle duo’ bersama Santiana Ramli.Â
Naib juara milik Santiana Ramli yang menyampaikan lagu Tari Tualang Tiga, dia membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi.
Tempat ketiga dimenangi oleh Afif Tenor dan memenangi hadiah wang tunai RM10,000. Dia turut memenangi Anugerah GJ Pilihan Jiwa dan menerima hadiah RM1,000.
Tempat keempat dimiliki Ameem dan menerima hadiah wang tunai RM5,000.
Pertandingan akhir Getaran Jiwa berlangsung di Stadium MBKS, Bintawa di sini dan disiarkan secara langsung menerusi TV Saluran 122 Astro dan MYTV pada Jumaat malam.
Malam final Getaran Jiwa diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Dato Norhyati Ismail, Pengarah Eksekutif SMG Sarbini Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif SMG Rizal Zulkapli.
Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70 peratus oleh barisan juri profesional dan 30 peratus oleh juri awam yang mengundi dalam talian.
Persembahan peserta minggu akhir ini dinilai oleh Datuk Nash selaku ketua juri serta Norafizah Busman sebagai juri tetap dan Faizal Tahir selaku juri jemputan.
Sementara itu, pentas akhir Getaran Jiwa turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Mas Idayu yang bertindak sebagai Mami Jiwa Panas.
Dihoskan oleh Sissy Imann dan Jiggy, program terbitan TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak ini diinspirasikan oleh karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Pada acara final, penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Alena Murang, Winnie Albert, Carrie Geres, Safar Ghafar dan Hairee Francis. – TVS