KUALA LUMPUR, 10 Dis: Enam Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) selesai mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah pada Istiadat Upacara Angkat Sumpah Timbalan Menteri di Istana Negara hari ini.
Dengan bilangan tersebut jumlah keseluruhan Ahli Parlimen GPS yang dilantik ke dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah seramai 11 orang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.
Antara mereka yang mengangkat sumpah adalah Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Tun Taib (Timbalan Menteri Ekonomi) serta Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah (Timbalan Menteri Pengangkutan).
Turut dilantik ialah Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong (Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) dan Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii (Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).
Enam Timbalan Menteri dari Sarawak itu merupakan antara 27 Timbalan Menteri yang lain.
Senarai nama itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah. – TVS