KUALA LUMPUR, 9 Dis: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai nama timbalan menteri pada malam ini.
Anwar berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang ini bagi mempersembahkan senarai nama berkenaan.
“Saya akan menghadap Yang di-Pertuan Tuanku (Agong) pada petang ini dan Insya-Allah pada 8.15 malam kita umumkan nama-nama timbalan menteri,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini.
Media melaporkan Anwar dijadual menghadap Al-Sultan Abdullah pada petang ini bagi memaklumkan senarai timbalan menteri yang bakal dilantik menyertai pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya. – TVS