KUCHING, 9 Dis: Sarawak mengharapkan lebih banyak peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk membina dan menaik taraf jalan di luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan itu adalah untuk membina kira-kira 2,000 kilometer jalan penghubung kampung-kampung, jalan balak dan jalan ladang.
Sehubungan itu, beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengenai projek-projek infrastruktur di Sarawak menerusi satu mesyuarat di sini, hari ini.
“Perbincangan ini bertujuan untuk memaklumkan kepada Menteri Kerja Raya berkaitan kedudukan jalan luar bandar, isu yang dihadapi dan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata lagi, kementeriannya juga giat melaksanakan projek naik taraf jalan balak di luar bandar demi kepentingan rakyat.
“Kita juga komited memfokuskan kepada projek naik taraf jalan balak dan jalan ladang di luar bandar kerana nanti jalan ini tidak dapat dilalui sekiranya syarikat-syarikat berkaitan telah menghentikan operasi tersebut. Jadi kita mahu penduduk di kawasan terbabit akan terus mendapat akses jalan yang baik,” ujarnya.
Sementara itu, Nanta memaklumkan beliau akan melakukan jelajah bersama Jabatan Kerja Raya bagi meninjau pelaksanaan projek-projek terutamanya Lebuhraya Pan Borneo dan jalan luar bandar dari Sarawak ke Sabah untuk memastikan projek tersebut disiapkan dalam tempoh dan menepati spesifikasi yang ditetapkan.
“Tumpuan kementerian sudah pastinya menentukan projek mega disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ialah projek pembangunan berimpak tinggi yang akan memanfaatkan rakyat di Sabah dan Sarawak, untuk memperoleh infrastruktur jalan raya lebih baik.
“Secara amnya, kita akan bekerjasama dengan kementerian yang lain termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof untuk mempertingkatkan pembangunan infrastruktur di Sarawak,” ujarnya. – TVS