KOTA KINABALU, Dis 9: Pelancong tempatan dan luar negara kini lebih memilih produk serta destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
Berikutan itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata ia sekali gus mengubah trend pelancongan masa kini.
“Kita lihat trend pelancongan kita sudah berbeza, kini lebih ramai yang pergi ke tempat seperti ini. Mereka mahu melihat alam semulajadi yang cantik sekali gus merasai kehidupan serta budaya masyarakat di sesebuah tempat.
“Untuk itu, kementerian mengalu-alukan hasrat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato Sri Tiong King Sing dalam membantu pengusaha pelancongan menaik taraf kualiti infrastruktur sedia ada bagi memberi keselesaan kepada pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena kunjungan hormatnya terhadap Tiong di pejabat MOTAC pada Khamis.
Jafry yakin kerjasama strategik antara Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) dan MOTAC bakal memberi impak besar khususnya kepada pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan di Sabah.
“Kementerian pelancongan akan memohon bantuan atau insentif kerajaan menerusi MOTAC dalam membantu dari segi promosi dan pemasaran produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang ada di Sabah dalam memastikan penggiat industri pelancongan terus berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Tiong King Sing berkata beliau turut berbesar hati untuk membantu menaik taraf kawasan atau premis pelancongan tempatan.
Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk isu pembaharuan lesen bas persiaran dan kenderaan sewa pandu (BPKSP) yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan di Sabah.
Tiong King Sing menjelaskan bahawa pihaknya memandang serius berhubung perkara yang melibatkan pengoperasian sektor pelancongan.
“Saya komited untuk menyelesaikan isu terbabit secara tuntas bagi memastikan hasrat kerajaan untuk memulihkan sepenuhnya industri pelancongan negara mampu dicapai dalam masa terdekat,” katanya.-TVS