KUCHING, 9 Dis: Impian dan harapan Santiana Ramli yang merupakan finalis wanita tunggal di pentas akhir Getaran Jiwa akhirnya tercapai.
Biarpun perasaan teruja dan bangga dapat menempa tempat di peringkat akhir, Santiana masih lagi ‘bergelut’ dengan diri sendiri.
“Cabaran yang terbesar buat saya sepanjang menyertai Getaran Jiwa ini adalah saya melawan perasaan sendiri. Saya sangat bersyukur kerana dikelilingi oleh rakan-rakan serta ahli keluarga saya yang menasihati supaya tidak membuat perbandingan dengan peserta lain dan seharusnya fokus kepada diri sendiri,” katanya.
Mengenai komen daripada juri jemputan Fauzi Marzuki pada pusingan separuh akhir pertama pada 25 Oktober lalu yang mengatakan suara Santiana menjadi rebutan syarikat rakaman muzik, beliau berkata ia satu penghargaan dan menyemarakkan semangat untuk tampil dengan persembahan terbaik.
“Fauzi Marzuki adalah seorang figura dalam industri ini yang harus kita hormati kerana berjaya melahirkan ramai penyanyi tanah air yang terkenal di dalam dan di luar negara. Komen beliau adalah satu komen yang tidak saya sangka-sangkakan,” katanya ketika ditemui TVS.
Santiana berharap agar namanya selepas program Getaran Jiwa ini lebih dikenali dan mahu untuk melebarkan sayapnya di Semenanjung Malaysia dan tidak mahu berada di zon selesa lagi.
Santiana Ramli bakal berentap dengan Afif Tenor, Ameem dan Aruel Ariel untuk merebut gelaran juara Getaran Jiwa beserta trofi dan hadiah wang tunai RM30,000.
Saksikan Konsert Akhir Getaran Jiwa pada Jumaat, 9 Disember jam 8:45 malam di TVS saluran 122 Astro dan MYTV.
Konsert Akhir Getaran Jiwa bakal berlangsung di Stadium MBKS, Bintawa dan pintu dibuka seawal 7:00 malam. – TVS