KUCHING, 9 Dis: Berbekalkan dorongan arwah ibu ketika hayatnya, Aruel Ariel, finalis Getaran Jiwa berjanji akan memberi persembahan terbaik pada malam ini.
Aruel dari Selangor, memberitahu TVS bahawa arwah ibunya sentiasa menyokong usahanya dalam mengembangkan minat dan kariernya dalam bidang nyanyian.
“Kalau saya pergi ke kelas, dia memang akan memberi saya wang saku kerana arwah ibu saya tahu saya suka belajar vokal dan mahu saya menjadi seorang penyanyi yang baik.
“Saya sangat-sangat terkilan dan sedih kerana saya tidak dapat mempersembahkan lagu ini buat ibu saya di pentas Getaran Jiwa dan semoga saya dapat menyanyikan lagi ini dengan cemerlang,” katanya.
Mengenai komen daripada juri-juri jemputan serta Mami Jiwa Panas (Mas Idayu), Aruel menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang paling susah kerana mereka akan menjangkakan persembahan yang lebih baik daripada minggu-minggu lepas.
“Apabila saya melihat Erra Fazira memberi 100 markah, saya memang rasa sangat takut kerana tugas selepas itu adalah mengekalkan momentum disebabkan saya masih ada satu tugas pentas yang belum lagi selesai.
“Ditambah juga dengan kehadiran Faizal Tahir sebagai juri jemputan, beliau adalah seorang juri yang juga sangat spesifik memandangkan beliau sendiri adalah seorang penggubah lagu, penulis lirik dan penyanyi tersohor di Malaysia,” katanya lagi.
Perancangan Aruel selepas Getaran Jiwa adalah untuk mengeluarkan lagu baharu iaitu ‘Goda Menggoda’ yang bergenre klasik.
Aruel Ariel bakal berentap dengan Santiana Ramli, Afif Tenor dan Ameem untuk merebut gelaran juara Getaran Jiwa beserta trofi dan hadiah wang tunai RM30,000.
Saksikan Konsert Akhir Getaran Jiwa pada Jumaat, 9 Disember jam 8:45 malam di TVS saluran 122 Astro dan MYTV.
Konsert Akhir Getaran Jiwa bakal berlangsung di Stadium MBKS, Bintawa dan pintu dibuka seawal 7:00 malam. – TVS