KUCHING, 9 Dis: Enam Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Tun Taib (Timbalan Menteri Ekonomi) serta Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah (Timbalan Menteri Pengangkutan).
Turut dilantik ialah Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong (Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) dan Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii (Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).
Pelantikan mereka diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam ini.
Enam Timbalan Menteri dari Sarawak itu merupakan antara 27 Timbalan Menteri yang lain.
Senarai nama itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
“Istiadat angkat sumpah akan dijalankan di Istana Negara pada 3 petang esok,” katanya.
Pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri dan 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.
Pemimpin-pemimpin daripada GPS ialah, Ahli Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya), Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara) dan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya). – TVS