SHAH ALAM, 8 Dis: Seorang juruteknik mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan dan leher, susulan ditembak seorang individu yang dipercayai menjadi mangsa penipuan wang skim pelaburan isterinya di hadapan rumahnya di Jalan Limau Kasturi, Taman Wangi, Klang pada 7.10 pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa 46 tahun itu, cedera akibat tembakan yang dilepaskan seorang lelaki disyaki warga tempatan yang tidak dikenali, menaiki sebuah motosikal serta memakai topi keledar berpelindung matahari gelap semasa kejadian berkenaan.
Cha berkata pihaknya terdahulu menerima panggilan daripada seorang wanita warga tempatan pada 8.55 pagi, memaklumkan bahawa suaminya telah ditembak di hadapan rumah mereka.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan dan bahagian leher.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan X-Ray mendapati satu biji kelongsong disyaki peluru berada dalam lengan kanan mangsa,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Hasil siasatan pihaknya, Cha berkata suspek telah melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dengan menggunakan dua pucuk pistol yang berlainan.
Beliau berkata pemeriksaan unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, menemukan beberapa barang termasuk dua objek logam disyaki kelongsong peluru di lokasi kejadian.
Susulan itu, Cha meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan, untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hazri Raziff di talian 018-3204914 atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222. -TVS