KUCHING, 7 Dis: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Digital Village (TDV) di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya akan dilengkapi asrama sebagai tambahan kemudahan sedia ada, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pembinaannya adalah untuk menempatkan pelajar serta pengunjung yang datang dari luar Kuching yang akan didedahkan kepada program kendalian TEGAS.
“Kita akan membangunkan hostel di kawasan TEGAS Digital Village. Kita telah membina bangunan yang kita letak di sini sebagai hab permulaan, dalam masa kebelakangan ini banyak pelawat yang datang ke sini termasuklah pelajar.
“Kalau kita ada menerima pelajar, mereka boleh ditempatkan di kawasan ini selain untuk mereka belajar dan mendapat pendedahan dengan syarikat-syarikat yang berada di kawasan ini,” katanya ketika sidang media pada Majlis Penyampaian Anugerah Shell Livewire Sarawak 2022 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak juga akan memperuntukkan dana bagi pembinaan asrama berkenaan.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji usaha dalam membangunkan ekonomi digital di Sarawak.
“Saya yakin rakyat Sarawak mempunyai keupayaan untuk diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa, mengambil contoh dua aplikasi yang dibangunkan syarikat Sarawak iaitu iSarawakCare, sebuah aplikasi perkhidmatan kebajikan dan Mobile LASIS oleh Jabatan Tanah dan Survei yang telah memenangi anugerah antarabangsa.
“Dengan kata lain, apa yang saya kongsikan di sini ialah, usaha ekonomi digital kita telah diiktiraf di seluruh dunia. Jabatan Tanah dan Survei telah mendapat anugerah antarabangsa di Amerika Syarikat menerusi aplikasi LASIS yang digunakan oleh jabatan ini di mana jika anda ingin tahu mengenai tanah anda, lot, apa sahaja yang anda mahu tahu, anda hanya tekan dan semuanya akan keluar,” katanya.
Mengenai Shell Livewire, beliau memuji TEGAS dan Shell atas kerjasama membentuk komuniti perniagaan muda dalam menggunakan aplikasi teknologi terkini, Program Shell Livewire Sarawak 2022 merupakan program pembangunan perusahaan utama Shell dengan kerjasama TEGAS.
Ia mula diperkenalkan di Sarawak sejak 2016 dengan penyertaan lebih 400 usahawan bertujuan memperkasa usahawan pemula serta perusahaan sosial tempatan.
Menurut Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, pertambahan jumlah penyertaan dalam program berkenaan juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.
“Acara hari ini adalah untuk meraikan anak Sarawak yang telah membawa idea permulaan yang berpotensi menjadi realiti, di mana kita telah menyaksikan pembentangan dan persembahan cemerlang oleh usahawan tempatan kita sepanjang Program Livewire ini,” katanya.
Antaranya SPL Food Industries Sdn Bhd, Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd, Fatin Hanna Bakes, Easygrow dan Zueema Enterprise.
Bagi pemenang, anugerah yang berjaya diraih akan menambah keyakinan untuk meluas serta mengembangkan produk sehingga ke pasaran luar.
“Saya nampak produk saya boleh diketengahkan lagi dan peluang untuk pergi lebih jauh amat cerah sebab Shell ada di seluruh Malaysia malah dunia.
“Bila program sebegini diperkenalkan, semangat untuk saya meluas dan mengembangkan produk saya ke negara-negara lain terutamanya Asia lebih berkobar-kobar,” kata Normawati Mohamad, 46, usahawan mi kolok segera yang menjalankan operasinya di kilang industri MARA Demak Laut.
Katanya, usahawan yang mempunyai idea yang kreatif, ataupun mempunyai produk yang menarik, boleh menyertai program Shell itu kerana ada banyak manfaat dan kelebihan daripada bimbingan, tunjuk ajar dan sebagainya yang sangat baik untuk usahawan baru di Sarawak.
Usahawan kek dan pastri, Fatin Hanna, 24, berkata, kemenangan tanpa jangka itu dapat membantunya menambah pengeluaran produk.
“Anugerah sebegini dapat memberi motivasi dari segi meningkatkan pengeluaran bagi membeli perkakas, memberi semangat apabila mendapat geran untuk permulaan,” katanya yang mengendalikan perniagaan ini bersama adiknya.
Beliau mengajak usahawan-usahawan muda Sarawak untuk turut serta dalam program itu yang menyediakan pelbagai bimbingan serta dorongan kepada para peserta.
Usahawan gula apong, Saiful Firdaus berharap agar hasratnya untuk mengangkat nama manisan tradisional Sarawak dipersada antarabangsa dapat dicapai.
“Selepas ini diharap syarikat kami akan lebih berkembang dalam meningkatkan nama gula apong Sarawak di persada dunia, sekarang ini produk kami sudah dijual di Amerika Syarikat di Walmart dalam talian Arab Saudi dan pasaran tempatan,” katanya. – TVS