LAWAS, 7 Dis: Kehadiran kira-kira 30 orang ‘Spiderman Bomba’ dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas yang lengkap dengan peralatan khas menuruni kawasan Masjid Besar Lawas dengan ketinggian 47 meter menarik perhatian penduduk di daerah Lawas semalam.
Bagaimanapun, situasi itu merupakan antara latihan mencabar yang dijalankan di luar BBP Lawas untuk meningkatkan dan mendedahkan anggota Bomba dengan kemahiran teknikal terutama dalam operasi penyelamatan di tempat tinggi.
Ketua BBP Lawas, Azman Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan latihan dengan kemahiran teknikal tinggi bagi memastikan kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya di tahap terbaik terutama dalam operasi penyelamatan di tempat tinggi.
“Latihan teknikal penyelamatan tali aras tinggi BBP Lawas dijalankan hampir 10 jam untuk memastikan pegawai dan anggota sentiasa bersedia menyelamat di kawasan tanah tinggi, lereng bukit dan gaung,” katanya ketika ditemui TVS.
Azman menjelaskan, kebiasaan latihan itu dilakukan di BBP yang mempunyai menara latihan, namun ada kalanya ia berlangsung di luar untuk menguji ketahanan cabaran seperti di kawasan tinggi termasuk di kawasan Masjid Besar Lawas.
“Latihan ini mampu meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri anggota dalam aspek teknikal penyelamatan tali aras tinggi, selain menguji kemahiran dipelajari mereka dan emosi terutama apabila berdepan detik cemas,” jelasnya.
Beliau berkata, latihan menggunakan tali atau dipanggil ‘abseiling’ dari aras ketinggian lebih 47 meter benar-benar menguji kesiapsiagaan mereka selain kemahiran mengendalikan peralatan.
“Seramai 30 pegawai dan anggota dari BBP Lawas menyertai latihan itu yang dikendalikan enam jurulatih pakar tali yang mana beberapa teknik diterapkan supaya mereka tidak kekok dalam latihan yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Latihan dilakukan sebagai pendedahan dan pembiasaan gerak kerja teknikal penyelamatan tali aras tinggi kepada pegawai bomba baharu dan pegawai bomba bantuan serta latihan pengukuhan kepada pegawai bomba sedia ada,” katanya. – TVS