Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jabatan Bomba dan Penyelamat melaksanakan Latih Amal Bencana Udara di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA). Foto: Zaim Zharfan (TVS)

Simulasi pesawat terbakar, persediaan agensi penyelamat hadapi tragedi

ByAmirah Shawel

KUCHING, 7 Dis: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) digemparkan dengan kejadian kebakaran pesawat di landasan pada pagi ini.

Kebakaran di lapangan berkenaan merupakan simulasi berskala penuh bagi menguji kesiapsiagaan dan kecekapan petugas dan kakitangan di KIA.

Simulasi bencana persiapan berdepan tragedi

Beberapa jentera pemadam api daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JPBMS) serta Bahagian Kebakaran dan Perkhidmatan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) beraksi di lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Sementara tahap keselamatan dikawal oleh kakitangan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 30 lagi agensi terlibat.

Simulasi atau latih amal berkenaan juga dijayakan seramai 420 sukarelawan termasuk 64 orang peserta daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan sebagai mangsa.

Latih amal berskala penuh yang dijalankan setiap dua tahun ini adalah selaras dengan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) dan Dokumen CAD 14, Vol. I (Aerodrome Design and Operations) yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), selari dengan Dokumen ICAO Annex 14 Vol. 1 (Aerodrome Design and Operations).

Sementara objektif Latih Amal atau nama kod ‘Exercise Buceros Shield’ in adalah bagi menguji peranan semua agensi dalam menangani sebarang bencana udara di persekitaran KIA seperti mana yang termaktub di dalam Manual SAR Kebangsaan dan Plan Kecemasan KIA.

Antara agensi yang turut bekerjasama menjayakan simulasi berkenaan ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Keselamatan Penerbangan (AVSEC), Jabatan Imigresen Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Udara Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Airports. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan