BANDUNG, 7 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg percaya bahawa Sarawak akan berjaya melahirkan pereka perabot bertaraf dunia suatu hari nanti.
Keyakinan beliau melihat kepada kejayaan Program Sarawak Young Designers (SayD’Signers Sarawak) yang telah bermula sejak tahun 2018.
“Saya sangat gembira mengetahui bahawa setakat ini program ini telah menghasilkan 26 pereka muda yang telah tamat latihan di Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia sejak tahun 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Majlis Penutupan STIDC-SARADEC dan FSRD ITB Furniture Design Training Program dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan SayD’SignersSarawak dari kumpulan 2,3 dan 4, di sini pada Selasa.
Tambah beliau, kejayaan Program SayD’SignersSarawak ini akan memberi impak yang tinggi kepada pembangunan industri perkayuan di Sarawak terutamanya industri perabot.
Malah, kolaborasi bersama ITB ini menjadikan program latihan menjadi lebih baik dan berjaya meningkatkan pendedahan dan ilmu tentang reka bentuk untuk SayD’SignersSarawak.
Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, tegas Abang Johari, kerajaan Sarawak menekankan sektor perhutanan terutamanya produk hiliran yang bernilai tinggi seperti kejuruteraan kayu (engineered wood) dan perabot.
“Industri perkayuan adalah sektor komoditi eksport yang keempat pentingnya setelah petroleum, gas dan LNG dan sawit sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak dan industri ini telah menjadi satu tunjang utama kepada ekonomi negeri sejak tahun 1960-an lagi,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pengurusan sumber hutan tropika Sarawak secara lestari juga mampu menghasilkan produk kayu berkualiti sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, Sarawak memfokuskan kepada hasil hutan daripada industri hutan, dan penanaman buluh yang sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada hutan asli.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Research and Market USA 2022, nilai pasaran perabot dunia adalah berjumlah 945 bilion Dolar Amerika setahun menjelang 2030 manakala pasaran perabot buluh pula bernilai 6.9 bilion Dolar Amerika setahun.
Berdasarkan laporan Future Marker Insight and Consulting US 2022, nilai pasaran ini dijangka meningkat kepada 12.4 bilion Dolar Amerika setahun. – TVS