KUCHING, 7 Dis: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitahkan tahanan di enam penjara di seluruh Sarawak bergiat untuk menghasilkan produk kraf yang berbeza untuk setiap lokasi.
Cabaran sedemikian ekoran baginda yakin hasil tangan para banduan di sini boleh diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya sudah mengarahkan enam penjara di Sarawak untuk menghasilkan hasil seni Sarawak yang berlainan. Satu akan hasilkan bakul, satu akan hasilkan tenunan, satu akan hasilkan Keringkam dan begitulah seterusnya. Jadi, keenam-enam penjara di Sarawak, saya mencabar anda untuk menghasilkan kerja yang cantik kerana saya yakin kerajaan Sarawak akan sentiasa menyokong apa jua yang anda lakukan,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Azizah berkenan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak berhubung sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam usaha memantapkan industri kraf di Sarawak.
“Saya perlu berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana telah menyalurkan dana untuk membantu Penjara Puncak Borneo. Sekarang kita mempunyai ramai penenun dan mereka telah menghasilkan banyak tenunan yang cantik,” titah baginda.
Baginda berkenan bertitah demikian ketika hadir pada Majlis Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 di Kuching, semalam. -TVS