KUCHING, 7 Dis: Kelab Sukan Komuniti Satok menganjurkan Program Juh Nangga Bol bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki sempena kehangatan Piala Dunia Qatar 2022, malam tadi.
Program diadakan di Kompleks Sukan Satok itu menyaksikan pertandingan secara langsung perlawanan bola sepak antara Morocco dan Sepanyol.
Ibrahim berkata, tujuan penganjuran program itu adalah bagi merapatkan hubungan antara penduduk di kawasan Satok khususnya golongan belia.
“Sekarang semua orang demam Piala Dunia, jadi kita menyambut baik permintaan golongan belia khususnya di kawasan Satok ini. Suasana agak meriah menoton Piala Dunia bersama-sama dengan golongan belia.
“Ia juga bersamaan dengan menyambut kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), lebih-lebih lagi wakil rakyat Sarawak pertama kali memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kita berasa bersyukur dan kita juga ingin beramah-mesra dengan golongan belia,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri program berkenaan.
Turut hadir ialah Pengerusi Kelab Sukan Komuniti Satok, Irwan Zulkarnain Hasbi.
Untuk rekod, program itu merupakan anjuran kali pertama oleh Kelab Sukan Komuniti Satok, di samping menaikkan minat para belia terhadap sukan bola sepak. -TVS