BINTANGOR, 7 Dis: Harta benda awam termasuk landskap dan fasiliti yang disediakan oleh kerajaan perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.
Itu peringatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing susulan kehilangan lampu ‘spotlight’ Jambatan Merah Bintangor, semalam dipercayai angkara individu yang tidak bertanggungjawab.
Tambah beliau, kemudahan awam itu wajar dihargai oleh semua pihak kerana ia menunjukkan apresiasi terhadap inisiatif kerajaan dalam usaha menyediakan kemudahan untuk rakyat.
“Saya berasa sangat sedih kerana ‘spotlight’ yang membuatkan Jambatan Merah kelihatan menarik terutamanya waktu malam telah dicuri semalam. Jadi, saya menyeru kepada rakyat untuk bersama-sama menjaga lampu di Jambatan Merah supaya dapat menikmati keindahan lampu yang berwarna-warni itu,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya semalam.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai mempunyai kesedaran sivik yang lebih tinggi selain lebih mesra dengan kemudahan awam yang disediakan.
Tambahnya, pemasangan kemudahan itu bukan sahaja menceriakan persekitaran jambatan tetapi juga meningkatkan lagi tahap keselamatan pengguna yang melalui kawasan terbabit.
“Lampu itu agak mahal tetapi saya tidak pasti kosnya. Namun, saya ingin mengingatkan orang ramai agar memiliki kesedaran sivik dan menyayangi semua kemudahan yang disediakan kerajaan. Kita beruntung kerana masih mendapat kontraktor untuk menggantikan lampu yang hilang, tetapi kita tidak boleh melakukannya secara berterusan kerana ada hadnya,” katanya lagi.-TVS