Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah dan ketua penyelidikan MIDF Imran Yassin Md Yusof. Foto: Bernama

Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada tahun depan – MIDF Research

ByBernama

KUALA LUMPUR, 7 Dis: MIDF Research menjangkakan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah jangkaan pelbagai situasi tidak menentu pada tahun depan susulan sokongan daripada permintaan domestik yang kukuh.

Pengarah dan ketua penyelidikannya Imran Yassin Md Yusof berkata MIDF mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menyederhana kepada 4.2 peratus pada 2023 daripada 8.0 peratus yang dijangka tahun ini, terutamanya disebabkan oleh prestasi lemah perdagangan luar di tengah-tengah kelembapan ekonomi global dan kenaikan kadar faedah.

“Bagaimanapun, MIDF Research optimis permintaan domestik akan menyediakan sokongan kepada ekonomi, mendapat rangsangan daripada perbelanjaan berterusan pengguna, tekanan harga yang menyederhana, aktiviti berkaitan pelancongan yang semakin bertambah baik dan kemungkinan pemulihan projek infrastruktur,” katanya pada taklimat media mengenai tinjauan pasaran tahun depan, di sini, hari ini.

Imran Yassin berkata tekanan inflasi menjadi fokus utama tahun ini berikutan limpahan permintaan kukuh tahun lepas dan diburukkan oleh konflik Ukraine-Rusia yang menyebabkan harga komoditi tinggi manakala sekatan pergerakan akibat COVID-19 di China telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan.

“Susulan inflasi tinggi, pihak berkuasa kewangan di seluruh dunia mengambil pendekatan mengetatkan monetari bagi membendung tekanan harga dan menangani jangkaan inflasi,” katanya.

Menurutnya, langkah agresif menaikkan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) telah menyebabkan tekanan ke atas aset risiko terutamanya di pasaran ekuiti, bon dan mata wang.

Beliau berkata ekonomi global dijangka menyusut pada 2023 disebabkan terutamanya pertumbuhan perlahan di ekonomi-ekonomi maju manakala ekonomi pasaran sedang pesat membangun akan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan global apabila aktiviti ekonomi domestik terus pulih daripada pandemik global.

Bagaimanapun, beliau berkata, ekonomi dagangan yang terbuka dijangka menerima kesan daripada jangkaan penurunan permintaan akhir dan pelarasan dalam aktiviti pengeluaran global. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan