KUCHING, 6 Dis: Kolej Universiti I-CATS akan memberi tumpuan terhadap bidang penyelidikan berimpak tinggi susulan penubuhan lapan pusat baharu, kata Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain.
Beliau yang juga Pengerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) berkata, pusat – pusat baharu berkenaan ialah i-CARE (i-Centre for Advisory Sources and Education), i-RMC (i-CATS Research Management Centre), m-CARE (Mathematics Centre Advisory Sources and Education), e-CARE (English for Advisory Sources and Education), i-CGS (i-CATS Centre of Graduate Studies), i-CAS: (i-CATS Centre for Academic Support), MPU (Mata Pelajaran Pengajian Umum) dan pusat kajian bagi produk tanaman sagu.
Katanya, penubuhan pusat baharu berkenaan diharap dapat membantu warga Kolej Universiti I-CATS dengan kemudahan tambahan selain dapat dipraktikkan oleh pelajar untuk karier masa depan mereka.
“Oleh itu saya berharap agar para pelajar akan menggunakan pusat-pusat ini dengan menambah pengetahuan dalam bidang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada hari terbuka kolej universiti berkenaan di Stampin hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Lembaga Gabenor, Maznah Dasmi, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri dan Naib Canselor Kolej Universiti I-CATS, Profesor Dr Shahren Ahmad Zaidi Adruce.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, beliau turut berbangga apabila Kolej Universiti I-CATS kini menawarkan subjek berkaitan kajian bagi menghasilkan penyelidikan.
“Menjadi harapan kita agar inisiatif tersebut mampu membangunkan sosial dan masyarakat setempat,” katanya. -TVS