Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto: Bernama

KDN sentiasa berusaha bersama menteri perkasa aspek keselamatan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa berusaha bersama-sama kepimpinan Menteri Dalam Negeri yang baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memperkasakan lagi aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, usaha tersebut dilakukan melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan khususnya dalam memperkasakan kawalan sempadan negara daripada sebarang pencerobohan luar, seiring dengan peranan dan fungsinya.

Beliau berkata, sebagai peneraju dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam, KDN akan sentiasa memastikan penyampaian perkhidmatan yang diberikan merupakan perkhidmatan cemerlang dan berintegriti selaras dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“KDN, pelbagai jabatan dan agensi di bawahnya menzahirkan ucapan tahniah kepada Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Menteri Dalam Negeri baharu, amat mengalu-alukan kepimpinan baharu dan akan sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan kepada kepimpinan Menteri Dalam Negeri dalam mencapai hasrat kerajaan untuk memenuhi harapan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, KDN juga akan memberi keutamaan kepada aspek penyelenggaraan fasiliti dan kebajikan anggota selain meneruskan usaha bagi meningkatkan tadbir urus yang cekap dan memerangi gejala dadah selaras dengan komitmen kepimpinan baharu.

“Justeru, warga KDN bersama (semua) jabatan dan agensi akan sentiasa bekerja dalam satu pasukan, bersatu hati bagi mencapai matlamat yang ditetapkan untuk memastikan agenda negara dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Hari ini, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, beliau bertekad untuk berusaha sedaya upaya menggalas jawatan Menteri Dalam Negeri sebaik mungkin dalam usaha memastikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain di bawah kementeriannya berperanan lebih proaktif.

Jelasnya, beliau akan memfokuskan usaha kepada penyelesaian isu yang dilihat dapat diselesaikan segera selain meningkatkan suasana tempat kerja yang lebih kondusif.

Saifuddin Nasution merupakan antara 28 Jemaah Menteri serta dua timbalan perdana menteri yang  dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan