KUCHING, 6 Dis: Jualan industri kraf tangan di Sarawak mencecah RM15.7 juta pada tahun lepas, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri berkata, apa yang lebih membanggakan, Sarawak memiliki penggiat industri berkenaan yang kecil iaitu seramai 687.
Kata Abdul Karim, susulan potensi besar yang dicatatkan sektor berkenaan, Kerajaan Sarawak telah mengiktiraf kraf tangan tradisional sebagai salah satu pemain utama dalam strategi ekonomi Sarawak.
“Kerajaan Sarawak memandang tinggi industri tekstil. Ia mempunyai banyak potensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan mata pencarian negara kita.
“Menerusi pengiktirafan yang diberikan, kita akan beri tumpuan khusus pada tekstil tempatan seperti Songket Sarawak dan keringkam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 di sini hari ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenaan berangkat ke majlis berkenaan.
Turut hadir, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, usaha mengekalkan komuniti tekstil di Sarawak perlu diteruskan agar negeri ini mampu menjadi ikon tekstil.
“Pembangunan bakat tempatan hari ini amat penting untuk dijadikan titik fokus dalam mengekalkan komuniti tekstil tempatan.
“Menerusi sokongan pelbagai agensi yang terlibat melatih kemahiran berkaitan tekstil serta ekosistem yang harmoni, Sarawak boleh dan akan menjadi hab kreatif untuk warisan tekstil,” katanya.
Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 diinspirasikan daripada Simposium Tekstil ASEAN ke-8 yang telah diadakan di Putrajaya pada September lalu.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk meningkatkan dan memacu pemeliharaan dan pemuliharaan tekstil di Sarawak. -TVS