PUTRAJAYA, 6 Dis: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini.
Perdana Menteri menegaskan bahawa berdasarkan maklumat diperolehnya, sememangnya ternyata wujud beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi dalam perbelanjaan dana berkenaan yang dibuat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat sebelum ini.
Malah beliau yang juga Menteri Kewangan mendedahkan terdapat beberapa syarikat berkepentingan atau terkait dengan keluarga yang turut terlibat.
“Jadi saya ingin jelaskan bukan maksud saya, sepertimana (saya kata) saya nak tumpu perhatian mengurus negara, memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi kebajikan kepada rakyat. Tetapi sebaik dicabar, kita terpaksa melihat.
“Mereka boleh uar-uarkan bersih tidak bersih, (tetapi) tidak bersih sama sekali bila kita sebut tentang kelulusan yang dibuat tidak ikut peraturan, begitu juga kelulusan yang dibuat semasa PKP,” katanya dalam sidang media pertamanya sebagai Menteri Kewangan, hari ini.
Semalam, Muhyiddin pada sidang media selepas menyampaikan ceramah Grand Finale PN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai mahu Anwar menyiasat isu berkaitan dana itu dengan betul dan mendapatkan data sebenar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mempersoalkan kenyataan awal Muhyiddin sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu berkenaan dana berkenaan yang didakwanya telah mengelirukan ramai pihak, seolah-olah kerajaan membelanjakan wang begitu banyak demi rakyat.
“Kenyataan itu sengaja mengelirukan seolah-olah kerajaan bagi wang begitu banyak, (tetapi) sejumlah besar sebenarnya adalah wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), wang rakyat sendiri, ini saya dah ulas dua tahun lalu di Parlimen.
“Di bawah-bawah tengok, wah begitu besar kita belanja, sekarang baru dia (Muhyiddin) akui, sebenarnya bukan, kerana wang itu wang KWSP dan wang bank melalui keputusan moratorium, tetapi ada berpuluh bilion ringgit lain yang diperuntukkan (dari jumlah RM600 bilion) yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan,” katanya.
Berhubung kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mahu mengambil tindakan perundangan sekiranya Anwar gagal memberikan bukti berhubung dakwaan kononnya dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian, Anwar menasihatkannya supaya tidak bersikap gopoh.
“Jangan gopoh kerana saya sekarang Menteri Kewangan, fail ada pada saya,” katanya. -TVS