MUKAH, 6 Dis: Sebaik sahaja melangkah masuk ke bengkel yang bersaiz sederhana, pandangan penulis terus ‘menangkap’ sosok seorang gadis berbaju merah.
Dia kelihatan tekun menyusun beberapa bekas dan kemudian mula membancuh linut.
Diana Rosina, gadis Melanau kelahiran Kampung Tellian Tengah ini sebenarnya salah seorang daripada usahawan yang mengusahakan Batik Linut.
Berusia 24 tahun, Diana memberitahu, dia sebenarnya sudah empat tahun mengusahakan Batik Linut sebaik sahaja tamat tingkatan enam.
“Semuanya bermula selepas saya sertai bengkel yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.
“Menerusi bengkel itu, saya diajar beberapa teknik untuk hasilkan batik daripada linut dan secara perlahan – lahan timbul minat,” katanya kepada penulis baru – baru ini.
Kunjungan penulis ke Bahagian Mukah adalah bagi memenuhi jemputan Tourism Malaysia Sarawak yang menerbangkan pengamal media dari Kuching untuk meneroka produk pelancongan yang terdapat di situ.
Bercerita lanjut, Diana menerangkan kepada penulis tentang keistimewaan Batik Linut yang menjadi sumber rezekinya.
“Di kawasan ini, terdapat banyak pokok rumbia yang merupakan sumber utama penghasilan sagu, jadi saya memanfaatkan sumber alam untuk mencari rezeki,” katanya.
Menurut Diana, ketika menyertai bengkel berkenaan, dia teruja apabila diberitahu linut yang selama ini menjadi sajiannya boleh diinovasi sebagai batik.
Ditanya tentang pendapatan yang diraih menerusi perusahaan berkenaan, jawapan Diana memberi kefahaman kepada penulis mengapa dia terus bersemangat membangunkan empayar perniagaannya.
“Sepanjang mengusahakan batik ini, pendapatan yang diraih sangat memberangsangkan apabila mampu mencecah RM10 000 sebulan.
“Batik Linut yang saya hasilkan bukan sahaja dibeli oleh penduduk Sarawak malah turut diminati oleh pelanggan di Semenanjung Malaysia selain turut mendapat permintaan di Singapura,” katanya. -TVS