PUTRAJAYA, 6 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Kewangan.
Beliau yang mengenakan sut serba biru tiba di perkarangan Kementerian Kewangan (MOF) jam 7.58 pagi, disambut Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican.
Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datin Rashidah Mohd Sies.
Anwar, 75, kemudiannya dilihat memasuki pejabat di aras 12 bagi menghadiri taklimat tertutup bersama Pegawai MOF.
Anwar pernah memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998 di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 November lepas.
Pada 2 Disember lepas, Anwar mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan meliputi dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 Menteri Kabinet. -TVS