MIRI, 5 Dis: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang ditubuhkan pada tahun 2012 komited mempromosikan pendidikan teknikal kepada anak muda di Sarawak khususnya dalam kalangan masyarakat Dayak selari dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahukan penekanan kepada ekonomi digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Ahli Lembaga TEGAS, Dennis Ngau berkata, kepentingan ekonomi digital dapat dilihat ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia sebelum ini.
“Sebelum ini mungkin ramai yang tidak percaya dan tidak mengambl berat mengenai ekonomi digital, tetapi selepas pandemik COVID-19 melanda dunia ekonomi digital memainkan peranannya, misalnya ramai yang dapat bertahan menjadi Food Rider dan Grab Rider dengan adanya ekonomi digital.
“Premier kita adalah seorang yang sangat bijak dalam visi beliau memacu pembangunan negeri, selain daripada itu banyak juga yang telah dilancarkan untuk faedah masyarakat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Pra Krismas dan Ulangtahun Ketiga Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Wanita Long Seridan Telang Usan Miri di sini, malam tadi.
Katanya, TEGAS juga telah menyediakan fasiliti di Kuching, Miri dan Bintulu iaitu Kampung Digital TEGAS dan Hab Inovasi Digital TEGAS untuk anak muda yang ingin melibatkan diri di dalam perniagaan digital.
“TEGAS telah menyediakan apa yang kita panggil sebagai Kampug Digital TEGAS di Kuching, satu pusat yang memberi peluang kepada anak-anak muda yang ingin berkecimpung dalam perniagaan digital. Ramai juga anak Dayak yang sudah menggunakan Kampung Digital TEGAS ini untuk bergiat aktif dalam sosio ekonomi mereka.
“Di Miri dan Bintulu, kita juga telah tubuhkan hab yang kita panggil Hab Inovasi Digital TEGAS. Jadi bagi anak-anak kita yang ingin melibatkan diri dalam perniagaan digital, boleh menggunakan hab ini yang telah kita bangunkan di bawah TEGAS,” ujarnya.
Dengan dunia yang sudah banyak berubah ke arah teknologi dan ramai anak kampung yang berhijrah ke bandar untuk peluang pendidikan yang lebih baik, beliau berharap dapat membantu meningkat taraf kehidupan rakyat Sarawak di dalam pekerjaan dan perniagaaan yang dipilih.
Pada majlis itu Dennis Ngau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting turut menyampaikan sumbangan masing-masing berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Wanita Long Seridan Telang Usan Miri untuk aktiviti-aktiviti persatuan dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang akan datang. – TVS