KOTA KINABALU, 5 Dis: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengesahkan mereka bukan lagi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, keahlian mereka dalam PN tidak lagi relevan berikutan perselisihan faham yang timbul mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Ya, kita tunggu pengumuman rasmi (keluar daripada PN),” katanya kepada media selepas hadir pada Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS) Timbang Menggaris di sini hari ini.
Sebelum ini, timbul khabar angin yang mengatakan STAR akan meninggalkan PN selepas mula bekerjasama di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas, STAR menerusi Jeffrey menang satu kerusi parlimen iaitu Keningau. -TVS