KUCHING, 5 Dis: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) bakal melancarkan logo baharu pada 19 Mac 2023 sempena sambutan Jubli Emas penubuhannya.
Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sempena sambutan berkenaan, sebanyak 727 program telah dirancang yang akan dilaksanakan oleh 78 cawangan.
“Kini SEBERKAS mempunyai keahlian seramai 50,000. Ini merupakan pencapaian yang membanggakan kepada kita sempena perayaan Jubli Emas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Kali ke-55 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, program yang akan dianjurkan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kluster Pendidikan, Kepimpinan dan Latihan, Kluster Sosial, Rekreasi dan Kebajikan dan Kluster Ekonomi dan Keusahawanan.
“Tempoh 50 tahun merupakan satu jangka masa yang cukup bermakna. Oleh sebab itu, kita mengatur banyak program,” katanya.
Abdul Karim berharap agar SABERKAS akan terus meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan bukan sahaja pada peringkat cawangan dan negeri malah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. -TVS