KUCHING, 5 Dis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) di pejabatnya hari ini.
Kunjungan hormat itu diketuai Kontroller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Peggy Ronin Edin yang memberi taklimat kepada Abang Johari bersempena Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) ke-10 yang akan diadakan pada 14 Disember ini di Hotel Waterfront, Kuching.
PSEA yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) diperkenalkan pada tahun 2001.
Tema PSEA ke-10 pada kali ini adalah ‘Redefining Sustainability in Environmental Stewardship’ yang membawa kepada empat elemen kelestarian komponen PSEA seperti inklusif di mana para peserta didedahkan dengan bidang yang lebih luas dan pelbagai berbanding sebelum ini.
PSEA merupakan salah satu insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri yang bertujuan mengiktiraf usaha alam sekitar semua lapisan masyarakat di negeri ini yang telah menunjukkan penjagaan alam sekitar yang cemerlang dan menyokong kelestarian inisiatif hijau dalam operasi dan proses harian mereka.
Lima kategori yang bakal dipertandingkan dalam anugerah tersebut ialah industri, pihak berkuasa tempatan, sektor kerajaan, terbuka, kedai makan dan makanan termasuk 12 sub-kategori manakala bagi kategori industri terbahagi kepada enam sektor ekonomi yang berkenaan dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid 19 2030 (PCDS 2030) dan ‘National Economic Definition’.
Turut hadir pada kunjungan hormat tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal PSEA ke-10 (2021/2022) Profesor Madya Dr. Shanti Faridah Salleh dan Setiausaha Agung Sarawak Business Federation (SBF), Dato Jonathan Chai. – TVS