PUTRAJAYA, 5 Dis: Penggubalan Akta Warga Emas dan Akta Profesion Kerja Sosial antara fokus Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang kini diterajui Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri.
Nancy berkata, penggubalan akta baharu itu perlu dibuat dengan teliti dan mengambil kira kajian berasaskan bukti.
Tanpa memperincikan inti pati akta berkenaan, beliau berkata, kemungkinan ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan namun KPWKM komited untuk melaksanakannya bagi memanfaatkan golongan sasar.
“Beberapa dasar KPWKM yang lain akan dikekalkan buat masa ini dan sekiranya perlu, akan dibuat penambahbaikan selari dengan perkembangan semasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Nancy hari ini memulakan tugas secara rasmi di KPWKM kira-kira pukul 12.20 tengah hari selepas menghadiri Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan ahli pengurusan tertinggi KPKWM dan agensi di bawah kementerian itu bagi mendapatkan maklumat organisasi dan fungsi agensi.
Nancy, 61, yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan mula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Mei 2013 hingga April 2018 dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bermula Mac 2020 hingga November lepas.
Ahli Parlimen Santubong itu mengakui perlu memikul amanah yang besar dalam KPKWM yang lebih tertumpu kepada aspek kebajikan dan kemasyarakatan dan cabarannya juga berbeza berbanding tanggungjawab di kementerian lain sebelum ini.
“Kita perlu lebih empati di KPWKM iaitu jaga masyarakat dari ‘buaian hingga ke liang lahad’ dan banyak aspek kebajikan juga yang perlu kita tangani,” katanya.
Bagi mengenali agensi KPWKM dengan lebih dekat, Nancy juga dijadual melawat Institut Sosial Malaysia dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuala Lumpur, esok. -TVS