IPOH, 5 Dis: Seorang pemandu lori tangki membawa muatan minyak diesel terkorban selepas kenderaan itu terbabas ke dalam gaung sebelum terbakar di Kilometer 265, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa yang belum dikenal pasti identiti tersebut maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.52 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian sambil dibantu BBP Ipoh.
Ujarnya, pasukan Bomba kemudiannya mendapati kejadian berkenaan membabitkan sebuah lori tangki yang sedang membawa muatan minyak diesel.
“Kenderaan dipercayai ke arah utara itu didapati terjatuh ke dalam gaung sebelum terbakar.
“Terdapat seorang mangsa di tempat kejadian dan dia telah meninggal dunia,” ujar jurucakap itu. – TVS