KUCHING, 5 Dis: Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak meminggirkan Sabah dan Sarawak dalam program yang dijalankan oleh kementerian berkenaan kelak.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak juga mahu KBS yang kini diterajui oleh Hannah Yeoh tidak hanya fokus menganjurkan aktiviti di Semenanjung Malaysia sahaja.
“Kita mempunyai dua negeri terbesar di Malaysia yang terletak di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
“Anda (Menteri KBS) dialukan -alukan datang ke Sarawak untuk bertemu kami di sini dan anjurkan juga pelbagai program di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) di sini hari ini.
Abdul Karim berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Ahli Parlimen Segambut itu sebagai Menteri Belia dan Sukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membarisi kabinet Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Abdul Karim turut mengucapkan tahniah kepada Hannah.
“Beliau merupakan seorang ahli politik yang berpengalaman dan (pelantikannya) disambut baik oleh masyarakat terutamanya golongan belia,”katanya. – TVS