PERAI, 5 Dis: Flat Teluk Indah di sini kekal ‘dinobatkan’ sebagai flat paling kotor di negeri ini oleh penduduk setempat kerana persekitarannya yang menjijikkan sejak beberapa tahun lalu.
Ia berikutan sebahagian penduduknya tidak mempedulikan soal kebersihan apabila membuang sampah terus dari unit rumah ke koridor di tingkat bawah.
Situasi itu pernah beberapa kali tular di media sosial dan mendapat perhatian pihak berwajib, namun keadaannya tidak berubah.
Tinjauan TVS mendapati keadaannya tidak ubah seperti di tempat pembuangan sampah.
Pekerja pembersihan yang mahu dikenali sebagai Robert, 36, berkata, dia perlu membersihkan tingkat bawah flat itu setiap dua jam bagi mengelakkan bebanan tugas kerana sampah akan bertambah pada sepanjang masa.
Robert yang telah tiga tahun berkhidmat di situ berkata, dia sudah lali dengan sikap tidak bertanggungjawab penghuni.
“Setiap hari saya membersihkan sampah yang boleh memenuhi kira-kira 30 tong dalam tempoh lapan jam.
“Ia kerja yang membahayakan kerana saya pernah cedera dan luka pada kaki selepas sampah berisi botol kaca dicampak dari tingkat atas,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dianggarkan kira-kira 40 peratus penghuni di flat 20 tingkat tersebut merupakan warga asing yang bekerja di sektor perkilangan di kawasan berdekatan.
Tambah Robert, biarpun terdapat kamera litar tertutup (CCTV), namun ada penghuni yang memasang tirai di ruangan koridor sehingga menyebabkan liputan CCTV menjadi terhad.
“Justeru, CCTV hanya dapat rakam gambar tangan mereka tidak bertanggungjawab dan wajah gagal dikesan.
“Bukan sahaja pemalas, malah mereka juga licik menyorokkan tingkah laku itu,” katanya lagi.
Terdahulu, Cawangan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melakukan pemeriksaan pagi tadi selepas flat itu diisytihar lokaliti tidak terkawal yang berpotensi menjadi hotspot demam denggi.
Ketua Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, lima kes demam denggi direkodkan di kawasan perumahan itu sejak 6 November lalu.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati hampir setiap aras menjadi tempat pembiakan jentik-jentik berikutan terdapat kawasan air bertakung. – TVS