Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ratu ski air negara dan peluncur nombor satu Asia Aaliyah Yoong Hanifah menerima biasiswa bernilai RM1.1 juta daripada Yayasan Sime Darby (YSD). Foto: Bernama

Aaliyah terima biasiswa Yayasan Sime Darby bernilai RM1.1 juta

ByBernama

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Ratu ski air negara dan peluncur nombor satu Asia Aaliyah Yoong Hanifah hari ini menerima biasiswa bernilai RM1.1 juta daripada Yayasan Sime Darby (YSD) untuk melanjutkan pelajaran ke Florida, Amerika Syarikat (AS) mulai Januari tahun depan.

Aaliyah akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Florida Southern College yang merupakan kolej berprestij dengan kemudahan canggih dan telah melahirkan pemain ski bertaraf dunia.

Pengerusi YSD Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar berkata pemberian biasiswa lima tahun itu akan menyokong Aaliyah untuk meneruskan kedua-dua aspirasinya menjadi pemain nombor satu dunia dalam sukan air dan impiannya untuk memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi.

“YSD kagum dengan semua pencapaian Aaliyah di peringkat antarabangsa pada usia sangat muda yang menunjukkan potensinya yang tinggi, dan kami telah menganugerahkannya dengan biasiswa ini. Tidak ramai yang telah dianugerahkan biasiswa berprestij daripada YSD ini.

“Beliau (Aaliyah) benar-benar memberi inspirasi kepada kita semua, dan beliau sedang menuju menjadi peluncur nombor satu dunia dalam sukan ski air,” katanya dalam ucapannya semasa sidang media Aaliyah Yoong’s Journey to be World Champion (Kembara Aaliyah Yoong menjadi Juara Dunia) di Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini, hari ini.

Sementara itu, Aaliyah yang memenangi pingat gangsa dalam Trik Wanita Terbuka di Sukan Dunia 2022, juga muncul sebagai pemain ski air pertama Malaysia yang meraih pingat di Sukan Dunia menyifatkan pendidikan adalah penting untuk kemajuan dan kejayaan sukannya.

“Saya meminati sukan dan bercita-cita untuk menjadi seorang daripada ramai yang telah membawa perubahan kepada dunia melalui kuasa sukan. Saya juga ingin dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang akan meningkatkan pembangunan sukan di negara ini dengan penekanan kepada psikologi sukan,” kata atlet berusia 19 tahun itu.

Aaliyah mula terlibat dalam sukan ski air seawal usia lima tahun dan memperoleh pingat emas pertamanya di Sukan SEA 2011 ketika berusia lapan tahun dan telah mengumpul sejumlah enam emas setakat ini dan kini menduduki tempat pertama di Asia dalam slalom, tricks, lompatan, dan overall selain menduduki tempat ke-3 di dunia bagi kedua-dua kategori Bawah 21 tahun dalam ketagori overall dan tricks.

Beliau yang juga Bintang Sarjana dan Duta YSD turut meningkat secara progresif dalam ranking global International Waterski & Wakeboard Federation (IF), iaitu daripada tangga ke-19 kepada tangga ke-11 dalam kategori Women Overall setakat November tahun ini.

Pada 2023, Aaliyah akan memulakan kempennya dalam Moomba Masters di Melbourne, Australia pada Mac dan menyertai dua kejohanan dunia B21 di Mexico pada Jun sebelum bertanding di kejohanan terbuka dunia di Florida pada Oktober.

Untuk rekod, penerima Anugerah Biasiswa Bintang YSD sebelum ini termasuk pelumba basikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain golf Kelly Tan kerana kedua-duanya disokong dalam usaha akademik sambil cemerlang dalam bidang olahraga mereka. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan