KUCHING, 5 Dis: Lebih 26 pelukis antarabangsa dan tempatan berkampung di Rumah Panjang Annah Rais, Padawan sempena Kem Seni Antarabangsa Sarawak 2022 (SIAC2022) yang bermula hari ini hingga 9 Disember.
Acara berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Artis Sarawak (SAS) yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Sarawak.
Menerusi SIAC, kumpulan pelukis berkenaan akan menyelami kehidupan dan budaya penduduk di rumah panjang berkenaan dan seterusnya menumpahkan idea bagi penghasilan karya seni masing-masing.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran SIAC2022 bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta untuk bertukar idea terutamanya dalam aspek artistik di samping mengeratkan hubungan pelukis dari pelbagai negara.
“Kementerian sentiasa menggalakkan dan menyokong acara berskala besar yang melibatkan penyertaan antarabangsa.
“Ia secara tidak langsung merangsang ekonomi dan komuniti di Sarawak,” katanya pada majlis makan malam bersama peserta di sini hari ini.
Antara pelukis antarabangsa yang menyertai acara ini termasuklah Nabil Fikri Haronli (Brunei), Muhammad Rojana Udormsat dan Noppadon Viroonchatapun (Thailand) dan Melisa V. Abuga A, Ivy Marie Apa serta Nomar Bayong Miano dari Filipina.
Turut serta empat pelukis dari Vietnam iaitu Le Van Minh, Nguyen Ngoc Quan, Nguyen Ngoc Tuan dan Pongporn Chantanamattha.
Pelukis Malaysia yang berasal dari Sarawak, Ong Shu Yi pula mengetuai barisan artis tempatan bersama Brandon Simon Scott, Alysius Ho Boo Chiang dan Gerald Goh.
Snowdan menambah, Sarawak mempunyai pelbagai keunikan budaya dan tradisinya melalui seni halus dan kraf tangan.
Sementara itu, Presiden SAS, David Chew berharap agar acara ini dapat mempromosikan Sarawak sekali gus menyumbang kepada industri pelancongan.
“Pada masa sama, ia akan membantu mempromosikan Bandar Raya Kuching sebagai hab seni dan kreativiti,” katanya.
Hasil seni yang disiapkan di Rumah Panjang Annah Rais akan dipamerkan pada Pameran Seni Tahunan SAS bermula 9 Disember 2022 hingga 8 Januari 2023 di La Promenade Mall. – TVS