KUCHING, 4 Dis: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi lawatan selama empat hari ke Kuching.
Keberangkatan tiba Raja Permaisuri menggunakan pesawat khas pada jam 1.26 petang tadi disambut oleh isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Sepanjang berada di Kuching, Raja Permaisuri Agong pada petang ini berkenan melawat ke Kompleks Penjara Puncak Borneo iaitu Bengkel Songket Penjara Puncak Borneo dan pada sebelah malamnya, baginda menghadiri Food Over Fire Festival & Theatre di Fort Margherita, Kuching.
Pada keesokannya, baginda dijadualkan berangkat ke Damai Golf & Country Club, Santubong, manakala pada sebelah petangnya baginda berkenan melawat Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai di Jalan Muda Hashim bagi Pelancaran Kampung Heritage Trail-Rumah Warisan Tan Dri Datuk Amar Abang Ahmad Urai.
Dijadualkan, Raja Permaisuri Agong akan berangkat pulang ke ibu negara pada Khamis, 8 Disember 2022.
Turut hadir menyambut keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. -TVS