KUALA LUMPUR, 4 Dis: Pemain industri menggesa barisan Kabinet baharu memastikan semua langkah dan dasar yang dilaksanakan untuk membantu memulihkan perniagaan adalah berdasarkan empat prinsip dasar utama iaitu kredibiliti, kejelasan, konsistensi dan kepastian.
Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata ini boleh dilaksanakan dengan menjadikan langkah dan dasar itu mudah, telus, dipercayai, mudah untuk dipatuhi, konsisten dan adil.
“Tumpuan perlu untuk memastikan tahap integriti tertinggi dan penyampaian perkhidmatan yang cekap,” katanya, sambil menambah FMM berharap kepada penglibatan industri yang berterusan untuk memacu Malaysia ke arah pemulihan ekonomi daripada pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi global semasa.
Beliau berkata FMM berharap Bajet 2023, yang dijangka akan dibentangkan semula dalam masa terdekat, akan memberi tumpuan kepada menambah baik iklim ekonomi dengan meningkatkan aktiviti ekonomi termasuk aktiviti perdagangan dan pelaburan untuk menjana pendapatan dan mewujudkan pekerjaan.
Katanya tumpuan juga perlu kepada mengurangkan kos menjalankan perniagaan; memulihkan tahap keyakinan pelabur asing dan domestik serta mengukuhkan pasaran modal dan memastikan kestabilan ringgit yang paling kritikal pada masa ini.
“Kami turut berharap kepada galakan yang berterusan untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk membina kumpulan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong transformasi pembuatan,” katanya.
Soh, yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) berharap barisan Kabinet baharu akan membangunkan dasar mesra perniagaan yang baharu dan menawarkan idea baharu untuk menerajui Malaysia ke arah kestabilan dan pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, katanya FMM dan NCCIM berjanji untuk bekerjasama rapat dengan Kabinet baharu untuk membasmi rasuah, memerangi kos sara hidup yang meningkat dan memulihkan ekonomi daripada cabaran global.
Kedua-dua organisasi itu juga mahu industri yang berbeza untuk kembali kepada kedudukan kompetitif dalam pasaran global dan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman mahu anggota Kabinet baharu bekerja keras dan sentiasa prihatin terhadap rakyat, perniagaan dan negara.
“Penting bagi anggota Kabinet untuk sentiasa mendengar dan menganalisis pandangan dan keperluan pihak berkepentingan serta peka terhadap apa yang diperkatakan oleh semua pihak berkepentingan.
“Para menteri perlu sentiasa menangani isu dengan segera dan berorientasikan tindakan. Penting untuk menteri-menteri mempunyai keupayaan dan pengalaman yang diperlukan dalam bidang yang mereka dilantik,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik dua timbalan perdana menteri serta 28 Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet kerajaan perpaduan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pengumuman barisan Kabinet di Putrajaya pada kira-kira 8.20 malam semalam disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen dan platform media sosial.
Anwar, turut memegang portfolio Menteri Kewangan.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov lepas. – TVS