KUCHING, 4 Dis: Menjalani kehidupan sebagai gelandangan di Bandar Sibu selama hampir 20 tahun, Ani Mail pernah membayangkan yang riwayatnya mungkin akan berakhir di lorong di situ.
Wanita yang berasal dari Song ini berkata, ketika itu dia meneruskan hidup tanpa sebarang tujuan dengan hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai yang sudi menghulurkan makanan dan minuman kepadanya.
Tidur beralaskan kotak terbuang pula sudah menjadi rutinnya.
“Sepanjang tempoh itu, saya sempat bekerja apabila mengambil upah menyapu sampah, mencuci pinggan di kedai makan dan sebagainya,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Perselisahan faham dengan keluarga humban Ani ke lorong gelap
Pada mulanya, wanita berusia 55 tahun ini seperti keberatan saat ditanya bagaimana kehidupan gelapnya sebagai gelandangan bermula.
Namun setelah dipujuk, perlahan – lahan dia membuka cerita.
“Sebenarnya saya tidak pernah mendapat pendidikan secara formal. Sejak kecil saya membantu ibu bapa melakukan kerja – kerja di kampung,” katanya.
Disebabkan kesempitan hidup, Ani memberitahu keluarganya menjodohkannya dengan seorang pemuda di kampung.
“Hasil perkahwinan, kami dikurniakan seorang anak perempuan namun suami meninggal dunia sekitar tahun 1980-an kerana keracunan arak,” katanya.
Lebih menyedihkan kata Ani, anak tunggalnya juga diambil oleh keluarga mentuanya menyebabkan dia semakin tertekan dengan kehidupannya.
“Sehingga kini, saya sudah lebih 20 tahun tidak bertemu anak,” katanya.
Ani berkata, dia kemudian melarikan diri dari kampung setelah berselisih faham dengan ahli keluarganya.
“Saya membawa diri dalam keadaan sehelai sepinggang kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri termasuklah kad pengenalan dan sijil beranak,” ujarnya.
Ani mengakui dia berasa sangat takut ketika itu kerana hidupnya umpama pendatang asing tanpa izin (PATI).
Bermulalah kisah sebagai gelandangan
Ketika mula sampai di Sibu, Ani berkata, kawasan di sekitar jeti merupakan tempat penginapannya.
Di situ Ani memberitahu, dia ‘berkenalan’ dengan gelandangan lain.
“Saya tinggal di sana sangat lama, mungkin lebih daripada 20 tahun. Kami bersama-sama mencari nafkah dan hidup saling membantu,” katanya.
Katanya, kehidupan bersama rakan gelandangan di situ tidak lama kerana atas pelbagai sebab, ramai yang lari.
“Saya kemudian berpindah ke kawasan di sekitar pusat bandar, tinggal di lorong belakang kedai sebelum dijumpai oleh petugas Pusat Transit Gelendangan (PTG),” jelasnya.
Inisiatif Kerajaan Sarawak selamatkan Ani
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah sebelum ini memberitahu, kementeriannya telah melancarkan inisiatif untuk menyelamatkan gelandangan di negeri ini.
Katanya, sejak 2016 sebanyak 224 operasi menyelamat telah dilaksanakan di seluruh negeri dan berjaya membantu seramai 513 gelandangan.
“Sepanjang tempoh berkenaan, pasukan operasi memberi tumpuan kepada beberapa kawasan utama Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu,” katanya baru – baru ini.
Ani yang merupakan salah seorang daripada gelandangan yang diselamatkan berkata, dia bersyukur kerana mendapat peluang kedua untuk membina semulanya hidupnya.
Kemahiran menganyam bawa rezeki
Sejak diselamatkan, Ani berkata, dia mula mempraktikkan kemahiran menganyam yang diwarisinya secara ‘turun temurun’ di PTG.
Ditanya bagaimana dia mampu menghasilkan kerja seni berkenaan, Ani berkata, kemahiran menganyam bakul bemban diperolehnya melalui ‘mimpi’ sewaktu berusia 16 tahun.
“Saya masih ingat tentang mimpi itu, roh mendiang nenek berpesan supaya menganyam bakul dengan betul,” katanya.
Sedikit mengejutkan penulis apabila Ani memberitahu, sebaik sahaja terjaga daripada tidur, dia terus menganyam bakul seperti diarahkan oleh neneknya sehinggalah mahir seperti sekarang.
Kata Ani, mengikut kepercayaan masyarakat Iban zaman dahulu, bakul hanya boleh dianyam oleh wanita yang sudah mahir sahaja.
“Ini kerana anyaman bakul sangat rumit berikutan motifnya dikaitkan dengan kepercayaan dan pantang larang kaum Iban,” katanya.
Sebelum lari dari keluarganya, Ani berkata, momen menganyam tikar menjelang Hari Gawai merupakan antara perkara yang sering dirinduinya.
“Kami bergotong-royong, memasak dan mempamerkan kraf tangan yang dihasilkan untuk tatapan tetamu. Itulah saat yang terindah,” katanya.
TTG tawarkan peluang kedua kepada gelandangan
Sementara itu, petugas TTG Jalan Sanyan, Sibu, Dayang Azrina Awang Azman memberitahu, Ani merupakan salah seorang daripada 57 gelandangan yang diselamatkan oleh pihaknya pada hujung tahun lepas.
Dayang Azrina memberitahu, Ani ketika itu sedang sibuk mengutip pelbagai jenis tali di belakang sebuah kedai runcit.
“Saya hairan kenapa dia begitu bersungguh – sungguh mengumpul tali namun akhirnya mendapat jawapan apabila melihat dia menganyam bakul,” katanya.
Kagum dengan bakat menganyam yang dimiliki Ani, Dayang Azrina memberitahu, TTG kemudian menawarkan kepada wanita itu untuk mengikuti pelbagai latihan yang disediakan untuk menajamkan lagi kemahirannya.
“Kini dia bukan sahaja menghasilkan kraf tangan malah turut menjadi tenaga pengajar kepada gelandangan lain yang diselamatkan,” jelasnya.
Menurutnya, setelah dipasarkan, kraf tangan termasuk bakul yang dihasilkan oleh Ani mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
“Setiap pembelian juga dapat membantu kelangsungan hidupnya di TTG Sibu,” katanya.
Bagi menyokong produk dihasilkan oleh penghuni TTG, Dayang Azrina memberitahu, pihaknya juga bekerjasama dengan stesen minyak Petronas.
“Produk kraf tangan akan dijual di tujuh kiosk di stesen minyak Petronas di Sibu pada bulan ini dan kami berharap agar orang ramai dapat memberi sokongan,” katanya.
Ani mahu teruskan langkah, simpan hajat mahu bertemu anak
Berbalik kepada Ani, dia bersyukur kerana kerja seninya dipandang oleh orang ramai.
“Saya tidak pernah membayangkan akan mampu membuat bakul untuk dijual,” katanya.
Katanya, dia mahu meneruskan langkah dalam bidang perniagaan itu dan mengumpul wang.
“Bakul yang saya hasilkan dijual bermula pada harga RM15 hingga RM35, bergantung kepada corak, warna, saiz dan reka bentuk,” katanya.
Sekiranya diberi peluang, Ani berkata, dia ingin membuka kelas anyaman dan mahu mengajar golongan muda tentang tradisi berkenaan.
“Sekiranya belia berminat dengan teknik anyaman ini, kita akan dapat mengekalkan warisan kaum Iban,” katanya.
Menutup bicara, Ani berkata, dia sebenarnya masih menyimpan harapan agar disatukan dengan anak perempuannya.
“Saya tidak pasti tentang keadaannya sekarang sama ada sudah berkahwin atau sebaliknya.
“Jika kami bertemu pada tahun ini, ia menjadi hadiah Krismas yang sangat berharga kepada saya,” katanya. -TVS