KUCHING, 3 Dis: Sarawak berhak mendapat peruntukan yang lebih besar dalam usaha untuk meningkatkan dan menaik taraf kemudahan awam yang terdapat di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata demikian sebagai pandangan mengenai pembentukan Kabinet dan Kerajaan Perpaduan baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
Menurut Awang Tengah, banyak kemudahan yang perlu dilaksanakan dan ditingkatkan seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air yang mencukupi, termasuk sistem telekomunikasi.
“Dari segi pendidikan, kesihatan dan keselamatan amat diperlukan untuk dinaik taraf kerana kita tahu di Sarawak terdapat banyak sekolah yang dalam keadaan daif.
“Hospital, klinik desa dan dari segi infrastruktur keselamatan terutamanya seperti pejabat polis dan kuaters kerajaan juga perlu dipertingkatkan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi Warga Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) 2022, di sini, malam tadi.
Selain itu, kata Awang Tengah, peruntukan lebih besar itu diperlukan bagi melaksanakan proses naik taraf estet perindustrian dan premis perniagaan di Sarawak.
“Ia bakal meningkatkan lagi usaha untuk menarik pelaburan swasta, sama ada Pelaburan Langsung Domestik (DDI) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) selain memperbanyakkan lagi program dari segi sosioekonomi,” katanya.
Beliau menambah, usaha tersebut amat penting bagi membasmi kemisikinan dan membantu mengangkat para peniaga, khususnya mereka yang tergolong dalam kategori usahawan kecil dan sederhana.
Semalam menyaksikan, seramai lima orang Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilantik menjadi menteri penuh melalui pengumuman Anwar, termasuk Ketua Whip GPS, Dato’ Sri Fadillah Yusof yang dilantik sebagai salah seorang Timbalan Perdana Menteri. -TVS