KUCHING, 3 Dis: Perkembangan teknologi dan kemudahan baharu yang semakin pesat pada masa kini perlu dikuasai dengan sepenuhnya oleh rakyat di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif berkenaan merupakan platform yang seharusnya dimanfaatkan orang ramai dalam usaha meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam diri.
“Selalunya kita menghantar pegawai kita untuk mereka mengikuti seminar-seminar dan mendalami perkara yang penting seperti penggubalan kod tanah dan ordinan hutan sebelum ini.
“Hal ini bagi memastikan agar mereka dapat mencari model terbaharu yang dapat diikuti dalam proses penetapan peraturan kerana kita sentiasa mahukan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Warga Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) 2022, di sini, malam tadi.
Tambah Awang Tengah, ia juga selaras dengan fokus utama Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dalam usaha menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Dalam pada itu, seramai sembilan orang warga MUDeNR telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada majlis tersebut.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap MUDeNR, Datu Sr Zaidi Mahdi.