KUCHING, 3 Dis: Naib Ketua 1 Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Nancy Shukri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan baginda yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ketenteraman rakyat Malaysia.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Dua TPM, 25 ahli Kabinet angkat sumpah jawatan menteri
- 2. Nancy Shukri berpengalaman luas dalam kabinet
Nancy, 61, yang juga Ahli Parlimen Santubong menyifatkan pelantikan itu sebagai tanggungjawab dan amanah yang akan di pikul untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Pelantikan ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang akan saya pikul sebagai cabaran untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.
“Pengalaman dan hubungan baik bersama ahi-ahli Jemaah Menteri merentasi fahaman politik akan saya manfaatkan sebaiknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, kemenangan yang diraih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga berkat kepercayaan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta seluruh kepimpinan parti dan aspirasi rakyat.
Pada PRU-15, Nancy memperoleh 43,739 undi mengalahkan calon bebas, Affendi Jeman dengan 3,012 undi dan calon parti Pakatan Harapan (PH), Mohamad Zen Peli dengan 5,058 undi.
Beliau menang dengan undi majoriti 38,681 di kerusi Parlimen Santubong sekali gus membuktikan kreadibilitinya sebagai wakil rakyat meskipun bertukar kerusi dari Parlimen Batang Sadong. – TVS