KUCHING, 3 Dis: Kolej Universiti i-CATS dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad SEB) mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui Program Penanaman Pokok bertempat di Rumah Seri Kenangan di sini, hari ini.
Pengarah Program, Nurzaifah Zainal Abidin berkata, seramai 45 orang warga kerja Kolej Universiti i-CATS, 34 orang pelajar subjek Ekologi Global dan Pembangunan Lestari (MPU1243) dan 12 orang warga kerja Sarawak Energy Berhad turut serta menjayakan aktiviti itu.
Program itu diadakan sebagai pendokong kelestarian alam sekitar Maklumat Pembangunan Mapan (SDG), selain menyantuni warga emas di Rumah Seri Kenangan.
Pengurus Kanan Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan SEB, Douglas Pungga berkata, usaha tersebut juga selaras dengan hasrat pihaknya untuk menanam 50,000 pokok tahun ini.
Beliau berkata, untuk mencapai sasaran tersebut, mereka giat menjalankan kerjasama dengan banyak pihak termasuk Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) termasuk Kolej Universiti i-CATS.
Wakil Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Profesor Dr Hasbee Usop menyatakan selain program penanaman anak pokok, pelbagai aktiviti menarik juga diadakan seperti tarian poco-poco, karaoke dan muzikal, menghias pokok krismas, penyerahan sumbangan untuk warga emas dan lukisan mural.
Beliau berharap program seperti ini dapat memberi manfaat kepada penghuni program Rumah Seri Kenangan.
Seterusnya, harapan beliau agar terdapat banyak lagi pihak sudi bekerjasama dengan Kolej Universiti i-CATS untuk menjalankan program CSR seperti ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) menekankan kerjasama erat di antara sektor korporat dan kerajaan dalam usaha mencapai keseimbangan sosio ekonomi negara. – TVS