KUCHING, 3 Dis: Barisan Kabinet baharu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, diyakini bersifat satu pengiktirafan kepada rakyat Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Menurut beliau keyakinan dizahirkan susulan pelantikan Dato Sri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan empat lagi wakil dari kerajaan Sarawak memegang jawatan menteri penuh yang lain.
“Ini merupakan satu sejarah serta pengiktirafan kepada rakyat Sarawak dan juga kepada parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama jenteranya,
“Kita yakin barisan Kabinet baharu kepimpinan Perdana Menteri serta salah seorang TPM dari Sarawak akan menjadikan tuntutan untuk hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) akan dipermudahkan dan disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Alam Sekitar di Kampung Malaysia Jaya, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Tambah Sharifah Hasidah lagi, tuntutan hak negeri ini terus menjadi agenda utama kerajaan GPS berhubung proses kerjanya selepas ini dijangka lebih senang dengan kehadiran wakil Sarawak yang seterusnya melancarkan lagi perjalanan pengembalian hak-hak tersebut.
Pada masa sama beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mantan-mantan Perdana Menteri terdahulu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah banyak membantu dalam mengembalikan tuntutan hak-hak negeri ini.
“Proses tuntutan ini akan berlanjutan dan saya percaya Dato Sri Fadillah Yusof akan terus memperjuangkan agenda ini di peringkat Persekutuan agar pengembalian hak-hak Sarawak dapat dilaksanakan,” tegasnya lagi. – TVS