LIMBANG, 3 Dis: Penduduk di utara Sarawak khusus di Daerah Limbang senada dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar anggota Kabinet, Kerajaan Perpaduan perlu mengelakkan pembaziran serta fokus dalam melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat.
Rata-rata mereka yang ditemui TVS hari ini mahu Kerajaan Perpaduan agar lebih cakna terhadap kos sara hidup yang dihadapi rakyat termasuk di utara negeri ini dengan melaksana pelbagai pendekatan untuk memastikan keperluan rakyat diutamakan.
Seorang peniaga Pit Stop Seafood Limbang, Mohamad Fahmi Mohamad Borhan, 23, berkata, kenaikan harga barang membuatkan rakyat tertekan dan meminta Kerajaan Perpaduan melakukan sesuatu yang konkrit supaya kenaikan harga dapat dikawal.
“Kerajaan baharu ini yang ditubuhkan diharap dapat mengurangkan harga kos barang di Limbang, memastikan stok barang mencukupi kerana bagi kami golongan peniaga ini perlukan harga barang itu lebih murah,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Mohamad Fahmi menambah rakyat menyandar harapan tinggi agar pembentukan Kerajaan Perpaduan ini dapat memantau secara menyeluruh isu harga barangan yang mengalami kenaikan mendadak bagi mengurangkan beban rakyat khususnya golongan peniaga.
Seorang suri rumah, Dayang Hasnah Salleh, 55, dari Kampung Bunga Raya menjelaskan golongan suri rumah amat terkesan dengan peningkatan harga barangan yang berlaku pada masa ini.
Malah, katanya, isu kekurangan bekalan barangan utama seperti tepung, telur dan barangan lain yang berlaku di daerah ini secara berterusan menjejaskan golongan itu untuk berbisnes dan mencari pendapatan sampingan.
Katanya, pelantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub Sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memberi satu sinar harapan agar masalah yang membelenggu mereka dapat ditangani secara holistik.
“Saya berharap pembentukan Kerajaan Perpaduan akan lebih mengambil berat terhadap masalah rakyat di utara Sarawak.
“Kami mahu kalau boleh harga barang dikurangkan bekalan makanan mencukupi seperti tepung, telur, gula dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Bagi peniaga makanan kering di bangunan Tamu Limbang, Anny Kasmiati Miran, 68, dari Kampung Tuna berharap Kerajaan Perpaduan akan menumpukan kepada usaha untuk mencipta dan memperbanyakkan peluang pekerjaan di utara negeri ini.
Kemudahan itu menurutnya, mampu menyokong momentum pertumbuhan ekonomi setempat, selain memberi peluang kepada anak-anak tempatan lepas universiti mendapatkan pekerjaan bersesuaian.
“Kerajaan baharu ini perlu memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk anak-anak yang telah bergraduasi.
“Anak saya sudah dua orang bergraduasi tapi masih lagi belum memperoleh pekerjaan, saya amat berharap Kerajaan Perpaduan supaya memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk anak-anak yang bergraduasi,” katanya.
Selepas mengangkat sumpah jawatan nombor satu sebagai Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan diterajuinya dengan beliau turut memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan malam tadi.– TVS