SERIAN, 3 Dis: Karnival ‘Serian International Remote Control’ 2022 kembali lagi tahun ini setelah dua tahun berehat akibat pandemik Covid-19.
Penganjuran siri kelima pada tahun ini menyaksikan matlamat program untuk mempromosikan kawasan Serian terutama Tasik Danu sebagai pusat rekreasi yang mengenengahkan perlumbaan bot kawalan jauh di negeri ini.
Menurut Timbalan Residen bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph, karnival tersebut merupakan acara terbesar di Serian serta program kedua terakhir pada tahun ini.
“Melalui penganjuran karnival ini, diharapkan nama Serian akan dikenali sekali gus akan mempromosikan Serian,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan di Taman Danu Serian, malam tadi.
Caroline juga berharap karnival tersebut akan menjana pendapatan penduduk setempat melalui aktiviti perniagaan yang turut berlangsung.
Turut hadir Setiausaha Majlis Daerah Serian, Constatine Gerald David Anak Jonas, Timbalan Pengerusi Majlis daerah Serian, Cr. Asem Anak Linkin dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan, Komuniti dan Maksud Am Majlis Daerah Serian, Cr. Jawa@Lawas Anak Musan.
Terdahulu beberapa pertandingan telah diadakan bersempena karnival ini antaranya pertandingan bot kawalan jauh, pertandingan kapal terbang kawalan jauh dan pertandingan kereta kawalan jauh.
Kesemua pertandingan tersebut menyaksikan penglibatan peserta dari luar negara antaranya dari Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Kuwait, Dubai dan Abu Dhabi.-TVS