BINTULU, 2 Dis: Penstrukturan Bintulu Emergency Mutual Aid (BEMA) diwujudkan bagi memberi penekanan dari segi aspek keselamatan berhubung Tanjung Kidurong merupakan kawasan pelbagai industri seperti minyak dan gas.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid, BEMA yang distruktur bagi mewujudkan perjanjian dan persefahaman antara JPBM dan syarikat-syarikat industri diharap dapat memberi faedah kepada industri-industri terbabit.
“Bagi perkara ini, kerjasama antara industri dan kerajaan kini sudah wujud sekian lama. Sekiranya berlaku sesuatu, kita boleh gerakkan sumber-sumber yang ada untuk kita guna secara bersama.
“Ini merupakan cara yang lazim dilaksanakan di negara maju untuk meminimumkan kos dari segi pembelian peralatan aset dan bahan-bahan yang diperlukan dalam keadaan tertentu semasa mengendalikan sesuatu kejadian bencana,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Manual BEMA antara JBPM dan syarikat-syarikat industri serta pelabuhan Bintulu di kawasan Tanjung Kidurong di Bintulu, pada Jumaat.
Tambahnya menerusi perjanjian manual tersebut, pertindihan sumber untuk membeli peralatan dan kelengkapan yang diperlukan dapat dielakkan.
Sementara itu, beliau berkata inisiatif yang sama seperti BEMA juga akan diwujudkan di Kuching yang telah dimulakan pada tahun 2019 tetapi tergendala akibat pandemik Covid-19.
“Kita hendak bangunkan BEMA di Samajaya, Kuching. Dalam proses itu, kita mengambil iktibar daripada perkara yang berlaku di Bintulu untuk melaksanakannya. Apabila berlakunya Covid-19, prosesnya terganggu sedikit sejak tahun 2019. Insya-Allah awal tahun depan kita akan mula industri di Samajaya dan Muara Tebas,” katanya. – TVS