Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto JaPen.

Sarawak laksana projek karbon hutan terkawal pada suku pertama tahun hadapan

KUCHING, 2 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek karbon hutan terkawal pertama akan dimulakan di Sarawak pada suku pertama tahun hadapan.

Beliau berkata inisiatif itu akan didorong oleh entiti sektor swasta yang mempunyai pengetahuan teknologi dan sumber kewangan untuk memastikan kejayaan dan kemampanan projek berkenaan.

“Formasi geologi Sarawak yang stabil menyebabkan negeri ini mempunyai kapasiti penyimpanan karbon terbesar di kawasan luar pesisir. Dianggarkan Sarawak mempunyai 30 trilion meter padu kapasiti penyimpanan karbon di dasar laut pelantar benuanya.

“Peraturan akan dibuat oleh Kabinet negeri tidak lama lagi untuk mengawal aktiviti karbon hutan dan penyimpanan karbon dioksida di luar pesisir dan pesisir pantai Sarawak. 

“Aktiviti ini akan menghasilkan kredit karbon yang boleh diniagakan dan menyediakan sumber pendapatan baharu buat Sarawak,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis (1 Dis 2022).

Dalam pada itu, Pelan Hala Tuju Gas PETROS Sarawak dijangka akan mengubah landskap sosioekonomi Sarawak menjelang 2030 melalui penubuhan empat hab gas di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching.

Abang Johari berkata, ia bakal memberikan perkhidmatan kepada seluruh Sarawak yang serupa dengan model “Hub & Spoke” bagi memberikan akses seluruh negeri kepada bekalan gas yang mencukupi dan berpatutan serta tenaga yang bersih.

Sehubungan itu jelasnya, PETROS akan melaksanakan dua projek dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak iaitu Hab Miri dan Hab Samalaju.

“Dalam tempoh terdekat, PETROS akan melaksanakan dua projek sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak iaitu projek pertama adalah Hab Miri – Loji Tenaga 400MW untuk memastikan Keselamatan Tenaga Sarawak utara.

“Projek kedua adalah Hab Samalaju – PETROS akan memasang saluran paip gas dan membina loji janakuasa dengan Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Ini penting untuk melengkapkan Samalaju sebagai zon industri berat dan memastikan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada industri berat di situ,” katanya.

Premier Sarawak berkata, dua projek berkenaan memerlukan pelaburan sekitar RM6 bilion.

Sepanjang 10 tahun, jumlah pelaburan yang diunjurkan melalui empat hab adalah RM65 bilion termasuk industri nilai tambah hiliran bagi membolehkan akses gas di luar Miri dan Bintulu hingga ke seluruh bahagian di Sarawak.

Katanya lagi, PETROS dan agensi yang berkaitan sedang giat mempromosikan peluang sedemikian kepada pelabur hiliran. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan