KUCHING, 2 Dis: Bagi memartabatkan seni tulisan kaligrafi, satu Pertandingan Kaligrafi Arab dan Kaligrafi Cina akan diadakan pada 19 hingga 21 Disember ini.
Penganjuran julung kali itu, menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah adalah untuk menonjolkan perpaduan dan kesefahaman antara kaum dan agama di Sarawak.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama kaligrafi Arab dan Cina diadakan secara serentak.
“Inilah yang memberi keunikan tentang apa yang hendak diusahakan oleh pihak penganjur, Jabatan Agama Islam Sarawak dan Persatuan Kaligrafi Cina Kuching dan Samarahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dua kategori akan dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan kategori menengah untuk kedua-dua kaligrafi.
Acara tersebut akan diadakan di Hotel Imperial yang menawarkan hadiah wang tunai.
Bagi kategori terbuka, tempat pertama akan memenangi hadiah wang tunai RM6,000, tempat kedua (RM3,000) dan tempat ketiga (RM2,000).
Untuk kategori menengah pula, pemenang pertama akan menerima RM2,000, kedua (RM1,500) dan ketiga (RM1,000).
Sepuluh orang peserta, masing-masing akan menerima hadiah sagu hati RM800.
Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan acara tersebut dan menyertai bengkel kesenian bersama pakar kaligrafi antarabangsa. – TVS