KUCHING, 2 Dis: Seramai 20 usahawan di negeri ini diberi pendedahan berkaitan pemasaran digital menerusi kursus anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) Cawangan Miri.
Pengarah MARA Sarawak, Azmi Amat Murjan berkata, kursus dengan kerjasama kumpulan Azzam Rezky itu bertujuan untuk membuka peluang kepada usahawan supaya mahir mengendalikan platform digital dan seterusnya memacu perniagaan mereka.
“Kursus yang dihadiri usahawan dari Kuching, Serian, Bau, Lundu dan Betong ini menekankan kepentingan produk yang bermutu tinggi agar dikenali.
“Ini juga dapat memastikan mereka mendapat kemahiran untuk membuat penjenamaan berkaitan produk masing – masing,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis penutup kursus selama tiga hari itu di sini pada Khamis.
Seorang peserta, Zurina Sapinyan berkata, menerusi kursus berkenaan, dia mendapat pelbagai ilmu mengenai pemasaran digital.
“Saya berharap agar kursus seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya. -TVS