KUCHING, 2 Dis: Kehangatan Getaran Jiwa semakin terasa apabila pentas pada malam ini menyaksikan para peserta bersaing merebut dua lagi tempat ke peringkat akhir.
Dengan kemunculan dua peserta menerusi ‘GJ Kembali’, ini bermakna tujuh peserta akan bersaing pada malam ini.
Menurut pihak produksi program realiti yang mengetengahkan karya Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma yang diberi nafas baru, dijangka akan membawa kelainan kepada para penonton.
Penerbit Rancangan Getaran Jiwa Norashikin Mansor berkata walaupun dengan persiapan yang padat, Getaran Jiwa menjanjikan kelainan kepada para penonton.
“Pada minggu separuh akhir kedua, kami dari pihak produksi berharap penonton boleh melihat kelainan berbanding minggu separuh akhir pertama.
“Salah satunya adalah tempat asal para peserta selain daripada persembahan mereka. Minggu ini menampilkan peserta yang kebanyakannya dari luar Sarawak berbanding pada minggu lepas yang menampilkan majoriti peserta dari Sarawak.
“Para peserta diberi masa untuk memilih lagu pada Sabtu dan menggubahnya untuk dipersembahkan pada hari Jumaat,” katanya.
Insan yang bertanggungjawab dalam menggubah lagu para peserta, Muhd Fudhail atau lebih mesra dikenali sebagai Angah berkata, beliau akan bekerjasama dengan tenaga pengajar Getaran Jiwa, Redd Kaderi untuk menentukan genre dan susunan lagu kepada peserta sekiranya terdapat perubahan pada saat akhir.
“Sesetengah peserta yang diubah susunan lagu pada saat akhir kerana kami perlu menentukan kesesuaian untuk mereka.
“Contohnya, jika mereka ingin menyanyi dalam genre balada, kita harus mengikut rentak balada yang sama walaupun pada asalnya lagu tersebut adalah lagu yang rancak.
“Bercakap mengenai kesesuaian, mungkin pemuzik lebih tahu apa yang sesuai dengan mutu suara mereka jadi sebab itu, saya akan bekerjasama dengan Cikgu Redd untuk menyusun lagu buat mereka.
“Minggu ini sudah tentu saya jangkakan pembaharuan dari para peserta contohnya dari segi persembahan, pembawaan kepada susunan lagu tersebut dan kualiti vokal mereka dalam masa yang ditetapkan,” katanya.
Minggu ini bakal diserikan dengan Mas Idayu dan pelakon dan penyanyi terkenal tanah air, Erra Fazira sebagai juri jemputan.
Konsert Getaran Jiwa diadakan di Stadium MBKS Bintawa pada setiap Jumaat, jam 8:45 malam.
Masuk adalah percuma dan pintu dibuka bermula 7 malam sehingga 8:30 malam.
Penonton juga boleh menyaksikan Getaran Jiwa secara langsung menerusi TVS saluran 122 Astro dan MYTV. – TVS