Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

CIMB perkenal langkah-langkah baharu keselamatan perbankan digital

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Dis: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) terus mengukuhkan keselamatan platform perbankan digital mereka dan memerangi penipuan dengan pelancaran langkah-langkah keselamatan baharu bagi aplikasi CIMB Clicks dan CIMB OCTO.

Kumpulan perbankan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pengukuhan keselamatan baharu itu termasuklah kebenaran SecureTAC mandatori menerusi aplikasi CIMB Clicks bagi urus niaga bernilai RM100 ke atas dan proses pengesahan panggilan pelanggan mandatori bagi log masuk aplikasi kali pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata langkah-langkah keselamatan baharu itu perlu bagi mewujudkan persekitaran perbankan yang lebih selamat walaupun pada mulanya mungkin akan menjadi kurang selesa sedikit.

“Kami akan terus memperkenalkan langkah-langkah tambahan bagi mengurangkan lagi risiko penipuan dan memastikan pelanggan boleh berurusniaga dengan lebih tenang.

“Berkuat kuasa 5 Dis, 2022, CIMB akan melaksanakan kebenaran SecureTAC mandatori bagi urus niaga web CIMB Clicks bernilai RM100 ke atas termasuk pindahan dana bukan-pilihan, pembayaran bil dan tambah nilai prabayar,” katanya.

Menurutnya, pelanggan juga tidak lagi akan menerima TAC SMS bagi urus niaga ini dan sebaliknya mereka perlu memuat naik Aplikasi CIMB Clicks dan meluluskan urus niaga menerusi SecureTAC.

CIMB berkata ia merancang untuk meluaskan kebenaran SecureTAC dengan memasukkan sebarang urus niaga bernilai RM100 ke bawah serta urus niaga bukan monetari pada separuh pertama 2023.

Dalam pada itu, kumpulan perbankan tersebut juga menggesa semua pelanggan yang masih belum memuat naik aplikasi CIMB Clicks untuk berbuat demikian di gedung aplikasi rasmi dan menghidupkan pemberitahuan dalam tetapan untuk menerima SecureTAC.

Berkuat kuasa 26 Dis, 2022, pengguna baharu atau pengguna sedia ada yang log masuk ke aplikasi CIMB Clicks dan CIMB OCTO di peranti baharu akan perlu melalui proses pengesahan panggilan bagi memastikan pemegang akaun itu sendiri memulakan sebarang percubaan log masuk kali pertama atau pertukaran peranti.

CIMB berkata ia telah menaik taraf sistem pengurusan penipuan setiap masa bagi mengenal pasti dengan lebih baik lagi petunjuk potensi aktiviti penipuan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan